7 September 2004
22 Rejab 1425
Sekadar prihatin...
Tika kaki melangkah derap ke kelas tadi, bersua aku dengan seseorang. Yang aku sendiri tidak kenal dan tiada kaitan secara langsung dengan aku. Yang hanya sesekali aku bertembung dengannya dan langsung tidak mengendahkan perjalanan aku, apatah lagi nak bertegur sapa. Teringin juga nak menghulur senyuman namun apa yang dia nak kisahkan nanti. Dia merupakan watak kecil yang berlegar sekitar penghidupan ini, hanya sekadar menumpang peranan tapi tanpa disedari dialah yang memberi makna sebenar kepada dunia hidup kita ini. Peranan seorang manusia, seorang ibu, seorang isteri dan juga segala-galanya. Lambang insan gigih mencari sedikit sinar pengharapan di kehidupan sementara ini.
Siapakah ‘dia’ ini? Seorang yang aku sendiri tak pandai nak menghuraikan kerana aku sendiri tidak kenal akan dia. Seorang makcik cleaner antara berpuluh-puluh cleaner yang memastikan kemaslahatan hidup kami di mahallah ini. Yang pada pengamatan aku, sudah tidak selayaknya melakukan kerja sedemikian. Lebih wajar kalau aku bahasakan dirinya sebagai nenek. Sudah terlalu tak larat untuk kerja mencuci longkang, mop lantai, mengankat sampah dan lain-lain lagi bidang tugas mereka. Nenek seperti ini sepatutnya berehat dirumah melayan kerenah cucu dan juga menambah lagi amalan sebelum tiba masanya. Timbul persoalan di benak, dimanakah anak-anaknya yang sepatutnya memberi peluang kepada ibu mereka untuk menikmati nikmat hidup setelah bersusah payah mengorbankan seluruh hidup untuk kesenangan anak-anak? Dimana sanak saudara lain yang sepatutnya prihatin dengan keadaannya. Bukan nak salahkan orang lain atau patut salahkan diri aku sendiri kerana tak dapat memahami keadaan dia. Mungkin ada sebab disebaliknya.
Tak boleh aku membayangkan jika ibu aku yang berada ditempatnya. Sebagai ingatan buat diri agar tidak mensia-siakan insan yang telah berpenat jerih membesarkan kami lima beradik. Itupun selagi aku berkesempatan selagi diberi peluang oleh-Nya.