Baru punya……………………….. ::T e r a t a k K h a i r:: ::T e r a t a k<<>>K h a i r::: June 2005
Sunday, June 26, 2005


24-26 June 2005
Jaulah Transborders
KL to Singapore

Pagi Jumaat yang berkat dan hebat!

Langkah permulaan Jaulah Transborders bermula dari bumi bertuah Gombak. "One small step for a man, one giant leap for mankind"- Neil Armstrong. Begitulah juga harapan kami, agar mula derap langkah kami ini juga menjadi hitungan amal pemberat neraca mizan nanti. Cuaca cerah turut sama menghantar perjalanan merelakan pemergian kami. Dengan tersemat Jaket Rasmi, kami melangkah gagah menjadi perhatian segenap warga Malaysia dalam laluan kami yang tertanya-tanya siapakah mereka ini. Bermula dengan feeder bas, seterusnya tren dan diikuti bas ekpress yang meluncur lancar ke Selatan membawa delegasi kami. Mata berat nak terlelap sepanjang perjalanan 5 jam memikirkan betapa besarnya amanah yang kami galas ini. Umpama amanah 20 juta rakyat Malaysia bergantung kepada 20 orang kami ini demi merealisasikan kesinambungan dakwah antara dua negara.

Ponteng Solat Jumaat
Dah lama tak ponteng Solat Jumaat sejak kenal apa itu rukuk dan sujud. Tapi hari ni terpaksalah berniat solat Zuhur jamak ta'akhir. Hujan rintik menyambut kami sewaktu tiba di JB pada pukul 2 petang itu. Tambak Johor hari itu penuh sesak dari arah Malaysia menuju masuk Singapura. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan di kaunter imigresen Malaysia dan Singapura. Dalam hati sempat berlagu, "Andai kata kami gugur semua, taburlah bunga di atas pusara. Kami mohon doa, Islam berjaya!!"

Kami disambut oleh delegasi Saff- Kak Nazlin dan Sis Azma. Dan orang pertama yang aku tak sangka boleh terjumpa kat Kota Singa ni ialah Ustaz Asmadi. Kat KL bukan main lama tak jumpa tapi boleh pulak terserempak kat sini. Syukur, sesungguhnya ukhuwah Islamiyah itu tidak pernah kenal erti sempadan.

Masjid ke Shopping Kompleks?
Tiba di hentian pertama kami di Masjid Kassim ini membuatkan hati ini tertanya-tanya, masjid ke shopping kompleks? Terdapat pelbagai kedai, one stop centre, nursery, IPT, library, pejabat PERGAS dan MUIS, pusat tahfiz dan juga pusat mengurut dalam satu kompleks. Beginilah konsep pengimarahan masjid yang sebenarnya yang menjadikan masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadah sahaja. Sungguh tak faham, mengapa hal sebegini tidak terdapat di Negara Islam Malaysia?

Terserempak dengan Pak Utih sangat mengharukan hati. Dan juga menjadikan di orang kedua yang tak sangka boleh terjumpa di bumi Hang Nadim ini. Terasa kecil benar dunia Allah ini. Walhal baru dua tiga hari lepas bersama dengan dia dalam satu program kekeluargaan untuk pasangan yang dah kahwin di KL. (iklan: Program Mekar Kasih di Mahligai Terpilih). Hadir dengan tiga orang bujang yang lain bekerja sebagai cameraman dan dalam masa yang sama menceduk ilmu kekeluargaan daripada Pak Utih untuk dipraktikkan bila tiba masanya nanti. Rupanya, kebanyakan badan dakwah di Singapura termasuklah Saff- Perdaus berada dalam koordinasi Pak Uith selaku mudir Madrasah Al-Irsyad di sini. Sempat dia berseloroh, "Anta tak jadi cameraman ke kali ini?" apabila melihatkan ada orang lain melakukan tugas ini dengan cemerlang. (Afan le J)

Anak Bapak
Sepertimana ayahanda kami, begitulah juga Saff binti Perdaus, IMPIAN bt PERGAS dan AKYM bin Alkhair. Setiap organisasi dakwah belia di Singapura pastinya mempunyai asal-usul keturunan mereka yang menjadi tulang belakang perjuangan mereka. Moga dengan ta'aruf kali pertama (Saff dah kali kedua dah) antara organisasi dakwah ini akan menimbulkan bibit-bibit percintaan yang diredhai dan seterusnya membina rumahtangga daulah dan melahirkan generasi baru pewaris perjuangan dakwah 'alami ini. Begitulah saranan Ustaz Hasbi, wali kepada si IMPIAN agar bahtera perkahwinan yang bakal dilayari tidak mandul!.

Muzakarah atas Katil (MAK)
Pengalaman bermakna yang tidak dapat dilupakan ialah pada saat malam pertama di atas katil di dalam bilik penginapan brothers. Perkongsian serampang lima mata antara Zakariya, Khairu, Afan, Zubair dan m_khair benar-benar amat berharga bagi kami untuk memahami waqi' dakwah di Singapura ini. Perkongsian yang tidak formal inilah yang sedikit sebanyak memberi penjelasan bagi kami yang masih kabur tentang landskap dakwah di Singapura. Betapa cerita di belakang tabir dan gejala sosial masyarakat Melayu Singapura khususnya menyebabkan segala program mereka lebih bersifat society-friendly tanpa prejudis memilih 'mangsa' mereka. Isu recruitment (penarikan madu' baru) tidak menjadi masalah bagi mereka kerana setiap program mereka pasti mendapat sambutan hebat dan terrr..baik tapi mereka mengakui agak 'kurang' dari segi mutaba'ah (follow up).

Berbeza namun kita serupa
Kebejatan sosial masyarakat Melayu menjadi agenda utama dalam pentarbiyahan Saff. Dengan aktiviti yang lebih menumpukan kepada golongan belia, mereka mendekati punca permasalahan remaja Melayu dari akar umbinya. Dengan menyerapkan elemen universal value dakwah mereka lebih global sehinggakan turut menarik golongan Cina Singapura. Dengan program 'gempak' dan aktiviti yang 'superb', mereka menjadikannya sebagai wasilah untuk menjadi takungan madu' yang baru. Sasarannya sudah tentu golongan muda, belia Melayu dan 'hanyut'. Emm...

Hanya di seberang tambak sahaja...
Walaupun tanah Singapura dan Tanah Malaysia hanya dibatasi Selat Tebrau yang hanya beberapa ratus meter, namun segala-galanya berbeza. Meskipun cuaca, bangsa dan bahasa rakyat Singapura tidak jauh ralat daripada Malaysia, namun dari segi sosio-budaya, sikap, budaya, kebersihan dan taraf ekonomi bezanya amat ketara. Penulis yang kali pertama ke 'oversea' menjadi sedikit teruja melihat perbezaan ini. Sepertimana dulu, datang pertama kali ke KL dari kampung...

Pantai Singapura...
Pagi hari kedua, kami(brothers shj) berpeluang ke tepi pantai Singapura yang kebetulan di sebelah chalet (nak kata chalet tak juga; tapi mcm rumah flat pun ada) kami. Pantainya yang mengadap Pulau Ubin ni cukup sunyi dan tenang. Tiada langsung sibakan ombak memukul pantai, desiran angin laut menampar pipi serta rambut dan baju mengerbang terbuai-buai ditiup angin seperti yang selalu tengok dalam filem-filem Melayu. Apatah lagi pantainya yang ditambak yang tidak sesuai untuk mandi-manda. Beginilah keadaan di pantai Singapura yang juga dikhabarkan tidak berpeluang melihat laut lepas. Pasti ada daratan di ufuknya samaada pulau-pulau yang mengelilingi Singapura, tanah Malaysia atau Indonesia. Tapi ada juga orang berkhemah kat tepi pantai ni. Mungkin sinilah tempat yang paling nyaman dan tenang kot di tengah-tengah kesibukan kota singa ni.

Lantai Singapura...
Amat kontra sekali dari segi aspek kebersihan dibandingkan dengan lantai tanah di Malaysia. Lantai di tanah Singapura cukup susah nak cari sampah apatah lagi puntung rokok. Pagi tu kami bersarapan di rumah Bro Effendi di sebuah flat di Punggol. Kat sini bukan rumah sahaja disusun bertingkat tapi parking kereta pun bertingkat-tingkat akibat kekurangan ruang. Acara makan-makan sambil ta'aruf ni memang meriah bagi kami untuk mengenali lebih mendalam antara brothers Singapaura dan Malaysia. Dijamunya kami roti jala, roti canai (kat sini panggil roti prata) dan roti buku sbg 'reinforcement' untuk 'backup' kalau tak cukup. Salad dan puding sebagai penutup selera. Teh dan sirap manis sebagai pelancar tekak. Dengan slogan "kalau malu; lapar" kami menyantap sehingga ke titisan kuah yang terakhir. Memang sedap masakan zaujah Bro Effendi ni. Tingkat atas sekali tingkat 15 dari flat ini ternampak sayup di hujung sana tanah Malaysia. Pasir Gudang di seberang sana hanya diselangi oleh Selat Tebrau.

FMSA...
Kami dibahagikan kepada dua kumpulan campurization antara delegasi Malaysia dan Singapura untuk melawat pertubuhan-pertubuhan strategik di Singapura ini untuk kami melebarkan jaringan networking kami. Mungkin kerana masa yang terhad dan banyak pertubuhan yang perlu kami ziarah sebab itulah kami dibahagikan kepada dua kumpulan ini. Kumpulan pertama dijadualkan melawat Darul Arqam, Yayasan Mendaki, dan National University Muslim Society. Manakala pejabat FMSA adalah tempat tuju pertama bagi lawatan kerja kumpulan yang kedua.
FMSA – Fellowship of Muslim Student Society. Ditubuhkan seawal 1983 dengan misinya; To Develop, To Connect, To Engage. Briefing oleh Bro Khairudin, Bro Alfian dan Bung Farhan serta Bro Muzamil. Antara program 'superb' yang dianjurkan ialah Meta Ilmu Aqal, Teens aL.I.V.E, Youth for Humanity: Project Zip, Youth Matrix Camp. Antara 8 soalan yang ditanya oleh seorang delegasi dari Malaysia ialah menyentuh tentang pertukaran modul yang boleh dilaksanakan untuk dipraktikkan dalam konteks di Malaysia. Memang patut benar kita applykan pendekatan remaja di Singapura kerana masalah sosialnya tidak jauh beza dengan masalah social mahasiswa kita di Malaysia. Memahami Islam dengan lebih interaktif.

Masjid mkhair?
Destinasi seterusnya ke Masjid Alkhair dengan alang-alang sekali solat jamak di sana. Penginstitusian (Institutionalization) masjid sebagai satu pusat ilmu amal dan komuniti amat jelas di semua masjid Singapura. Menguruskan masjid seperti menguruskan syarikat. (rujuk Majalah I Julai; ada story pasal Masjid Ghufran Singapura). Apa yang lebih menarik di Masjid Alkhair ini ialah terdapt satu sayap belia yang dipanggil AlKhair Young Muslim (AKYM). Young Muslim Secretariat (YMS) merupakan badan di bawah MUIS yang memantau setiap badan belia di masjid Singapura. Diketuai oleh Encik Rashid, AKYM bermatlamat untuk menarik golongan muda belia untuk ke masjid dengan program yang dekat dengan kumpulan ini. Antaranya street soccer untuk bro dan bowling untuk sis. Setelah golongan ini lebih dekat dengan masjid dan dalam masa yang sama mereka pelan-pelan menerapkan unsur Islam seperti pakai tudung, ajak pi solat dll. Di Malaysia pernah diwar-warkan suatu program sebegini yang dipanggil Rakan Masjid. Apa yang dah jadi sekarang ye? Senyap je.

NTUMS...
Lawatan kerja yang terakhir hari ini ialah ke Nanyang Technology University bagi menziarahi Muslim Society di sana. Laman universiti lengang kerana cuti semester tapi ada juga sekumpulan pelajar rasanya tengah dalam "Ta'aruf Week" kot. NTUMS yang diterajui oleh Bro Hafiz Mustafa (adik Sis Nazlin), ditubuhkan untuk menyediakan platform kepada pelajar Muslim yang minority di NTU ini untuk bermuamalah. Program mereka kebanyakan tertakluk kepada pihak universiti tapi tak menghalang mereka untuk memberi penjelasan tentang Islam kepada seluruh kampus. Salah satu programnya ialah IAP (Islamic Awareness Program) yang mana untuk menjernihkan kembali persepsi terhadap Islam pasca 11 Septermber lalu. Dengan mensasarkan warga kampus yang majoritinya Cina Singapura mereka menarik minat untuk mengenali Islam dengan mengadakan demonstrasi (Opss.. bukan seperti demo di Msia) amalan keagamaan. Cara praktikal menunaikan haji, pemakaian tudung oleh bukan Islam, upacara akad nikah, si bapa mengazankan anak yang baru lahir, model dalaman masjid, makanan dalam Quran, cara solat dan lain-lain diceritakan dengan detail kepada golongan bukan Islam seolah-olah mereka ini baru masuk Islam.

Sesat
Menjelang petang singgah di Geylang Serai di salah sebuah kawasan yang mempunyai ramai penduduk Melayu. Hampir sesat lantaran begitu ralit melihat suasana petang rakyat Singapura ini. Sempat singgah di Masjid Taha yang mana pusatnya ajaran Qadiani untuk buang air sebab asalnya ketiadaan syiling dolar Singapura untuk masuk tandas awam. Nak shopping pun tak ada budget yang mencengkam. So, window shopping menjadi pilihan.

Makan setalam, tidur setilam…
Waktu maghrib dinihari, semua delegasi kembali berkumpul di banglo penginapan sister. Pelbagai cerita bertukar mulut mengenai lawatan seharian masing-masing demi berkongsi pengalaman dan information. Solat maghrib dan Isyak jamak serta makan malam sementara menunggu sesi seterusnya. Makan setalam, tidur setilam tapi cuma tak sempat mandi sekolam je. (Brothers Malaysia dah biasak kan dengan ni semua?). Sesi seterusnya bersama dengan Dr Albakri. Sekali lagi terdetik, macam pernah berpapasan dengannya tapi di mana ya ?.


Surprise...!!!!

Ada sedikit surprise malam tu buat seorang delegasi dari Malaysia. Saja nak buat tergezut. Meriah sebuah bilik dalam banglo tu waktu brothers Singapura dan Malaysia berpadu otak brainstorm apa yang kami nak buat untuk majlis ringkas ini. Surprise itu juga satu peringatan bagi kami yang sedar tak sedar kebanyakan dah lebih 20 tahun berkelana di dunia ini. Dinisbahkan umur dan sumbangan terhadap agama ini terasa sangat ciput amalnya. Lahir bukan satu tarikh dipinta, mati bukan satu tarikh diduga. Adakah kita bersedia? Selamat Hari Lahir, Marhah...marhah!!!!

Merlion...
Hari ketiga dan terakhir merupakan hari yang rileks-rileks dan santai setelah penat dengan lawatan kerja semalaman. Persinggahan pertama di Esplanade untuk bersarapan Nasi Lemak Ayam Besar Telur Dadar. Sedap hingga menjilat jari. Jika di Langkawi terkenal dengan landmarknya Burung Lang, di Temasik ini terkenal dengan Merlion (Mermaid + Lion = Merlion) sebagai mercu tandanya dan juga di mana asal usul nama Singapura ini. Di muara sungai yang mengalir ke laut di selatan inilah tersergam hebat Merlion ini. Pelbagai mercu tanda yang tinggi di Singapura juga terpampang dari sini. Makmur betul negara yang suatu ketika dahulu bersama Malaysia sebelum bercerai dengan talak tiga. Kalau tidak, tak perlulah kami susah payah buat pasport nak masuk sini !

SAFF-PERDAUS Student Service Center.
Terpana seketika melihat Saff student hub. Dengan pejabat yang lengkap sebagai medan operasi dan juga deretan komputer sebagai cyber cafe, mini library serta dokumentasi lengkap pelbagai aktiviti yang dijalankan menyebabkan kami kagum seketika. Tambahan pula terdapat satu dewan kecil sebagai tempat mesyuarat dan menjalankan aktiviti kemasyrakatan seperti tuisyen dll. Kos operasi bagi student center ini memerlukan lebih kurang $1500 dolar Singapura sebulan. Beroperasi dengan daya ikhtiar mereka tanpa mengharapkan sangat dengan sponsor. Mungkin gerak kerja sebegini yang patut ditiru oleh aktivis dakwah di Malaysia.

Waqi' dakwah Malaysia dan Singapura...
Sesi perkongsian dengan Ustaz Haniff dimulakan dengan persoalan bolehkah adanya Islam Malaysia, Islam Singapura, Islam Eropah dan lain2 lagi yang mengikut lokaliti masing-masing. Sesi ini juga memberi kesimpulan menyeluruh tentang pemahaman waqi' dakwah antara Malaysia dan Singapura. Platform, matlamat, wasilah dan wadah perjuangan juga berbeza. Matlamat kita di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam tidak mungkin boleh diaplikasikan di sini. Pendekatan mereka juga lebih sederhana dan se'kepala' dengan kerajaan disebabkan mereka adalah minority di sini berbanding kita yang lebih lantang dan agresif mempersoalkan yang salah dan menegakkan yang haq. Namun demikian, ini tidak bermakna kita (brothers Malaysia dan Singapura) tidak boleh duduk semeja berbincang demi kemaslahatan dakwah di rantau ini. Banyak perkara pokok yang boleh kita sekalikan dalam perancangan dan pelaksanaan kerjasama dakwah dua negara.

Bon Voyage Singapore...
Setelah sesi ringkas upacara penutup dengan suasana yang amat sayu, kami delegasi daripada Malaysia terpaksa memohon diri untuk berangkat pulang. Sesungguhnya 3 hari bersama brothers dan sisters Singapura amat tidak mencukupi bagi kami. Serasa ingin lepak lebih lama dengan mereka tapi apakan daya kami mempunyai komitmen masing-masing. Tambahan pula passport berkumpulan, kenalah balik sekali Terpaksa mengejar bas ekspres di Larkin supaya tidak lari daripada jadual perjalanan. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan. Bas dari Larkin bertolak pukul 5.30 petang. Bersama kami bawa pulang sarat dalam bas itu segala kenangan dan ukhuwah yang kami semai dengan brothers dan sisters Singapura. Semaian Ukhuwah II ini diharapkan bukan sahaja tamat di sini, tapi bakal menjadi benih yang bakal menjadi pohon dakwah yang mengeluarkan buah tarbiyah yang ranum dan manis....

Sampai di Bandaraya Kuala Lumpur menjelang 2230 malam. Delegasi daripda Malaysia bertebaran ke destinasi akhir masing-masing. Malam itu giliran brothers (Afan, Wawi, Amad, Adib, Dhanny dan m_khair) tidur di 'banglo besar' UIA. Cerita-ceretet kami terus bersambung walaupun badan letih tak terkata....

Penghargaan buat delegasi daripada Malaysia: Ustaz Haris, Amad (Chief de Mission), Ezzad, Adib, Dhanny, Radziq, Wawi, Afan, m_khair, Khadijah, MaryamJ, MaryamA, Hamnah, Iman, Soba, Kak Basmin, Azreen, Munirah, Husna dan Nihlah.

Penghargaan buat delegasi daripada Singapura: Kak Nazlin, Hafiz, Zakariya, Jamil, Mokhsin, Haniff, Khairu, Bakhtiar, Bro Effendi dan isteri, Bro Rashid dan isteri, Bro Hazlie, Mariam, Shima, Khairiah, Halizah, Liana, Azma, Shahida, Huda, Arafah dll. (maaf tak ingat semua...)


alone at 1:15 PM


Sunday, June 19, 2005


19 Jun 2005
12 Jamadilawwal 1426

Exam yang pertama dan terakhir aku untuk semester ini. Selak kertas soalan, alhamdullialah aku dah familiar dengan topik yang ditanya. Namun, ketentuan Allah Maha Hebat, tak dapat aku nak jawab dgn sempurna akibat kekangan masa. Terlalu banyak isi nak dicoretkan sampai leka bahawa ada soalan lain lagi yang sedang menunggu untuk dijawab. Apapun, aku dah buat yang terbaik, selebihnya aku bertawakal kepada-Mu Ya Allah.


alone at 12:46 PM


Saturday, June 18, 2005


18 Jun 2005
11 Jamadilawwal 1426

Kesempatan bertemu dengan anak yatim Aceh benar-benar membungkam rasa jiwa. Si molek kecil dengan muka jernih, mata redup seolah-olah sukar untuk mengagak perasaan dan igauan yang bersarang dalam minda mereka. Daripada sekecil-kecil 6 tahun sehinggalah 12 tahun, mereka diterbangkan dari Rumah anak Yatim Darul Aitam bagi program Hi Tea Kasih Aceh. Mereka nampak gembira di bumi Malaysia ini seakan-akan cuba menghilangkan kesedihan lara di Bumi Aceh. Menatap wajah mereka, tertancap dalam hati rasa hiba, memberikan keinsafan betapa beruntungnya kita…. Lihatlah sudah seawal 6 tahun sudah kehilangan ibu bapa….

Malam balik kena prepare utk exam esok. Cuma nak gilap balik yang mana masih kabur. Tidur kejap. Bangun tengah malam…sambung study…solat minta dipermudahkan esok …tertidur pulak …bangun balik…study …subuh… and ready for exam!!


alone at 11:34 PM


Sunday, June 12, 2005


12 Jun 2005
5 Jamadil Awal 1426

Kenduri lagi....
Acara kenduri kendara ni memang seronok bagi kami sebagai pelajar yang tinggal merantau. Nak tahu sebab apa? Save budget makan. :-)

Penat dan lapar dengan aktiviti riadah bersama kawan-kawan berjuang atas padang bola seumpama fursatun finnahar setelah semalamnya berjuang atas hamparan karpet masjid bagi mengejar title ruhbanun fillail. Bagi membelai nafsu yang sememangnya lapar ni, kenduri Ustaz Samsuri menjadi sasaran kami. Objektif utamanya adalah untuk meraikan walimah sahabat kami dan memenuhi jemputan tuan rumah yang sememangnya tak asing bagi aku. Makan tu hanya sampingan....

Dah masuk minggu ketiga berturut-turut ada kenduri ni. Emm... maklumlah cuti sekolah. Sampaikan aku balik AS minggu lepas pun ibu mengisytiharkan "cuti memasak" lantaran banyaknya jemputan kenduri yang kami sekeluarga kena penuhi. Kat kampung memang meriah skit kenduri dia. Kat area KL sini kenduri sudah mengamalkan stail buffet tapi kat tempat aku kebanyakan masih lagi cara makan berhidang. Memang meriah satu kampung seminggu lagi sebelum kenduri ditambah pula dengan kehadiran sanak saudara yang datang menolong. Walaupun menunya tak sehebat kat sini tapi semangat tu yang kita nak.

Tahniah kepada Ustaz Samsuri dan Mak Cik Ton atas kehadiran dua menantu lelaki sekaligus. Kepada Kak Mardhiah dan Marami diucapkan Selamat Pengantin Baru.

p/s: Sekadar mengungkap kembali pojok seorang kawan, "Makan kenduri orang ni kita kena makan sungguh-sungguh, nanti kenduri kita tak boleh buat macam ni dah. Kena control makan....."


alone at 10:09 AM


Friday, June 10, 2005


10 Jun 2005
3 Jamadil Awal 1426

Ikhtilaf itu adalah rahmah...

Semester pendek ni aku jadi budak IRK sebentar. Sebab...? Sem ni aku hanya amik subjek UNGS 2050 (Ethics and Fiqh for Everyday Life). Hanya mengadap huruf dan perkataan shaja tidak seperti selalu kena mengadap nombor, angka dan figur.

Tertarik untuk aku bincangkan disini mengenai satu topik yang aku belajar mengenai khilaf. Khilaf atau ikhtilaf atau bermaksud perbezaaan pendapat adalah rahmah dan belas daripada Allah. Lihat betapa cantiknya Islam. Perbezaan pendapat atau percanggahan pandangan pun dikatakan adalah sesuatu yang positif dan baik. Namun perlu ditekankan di sini perbezaan pendapat ini hanya tertumpu pada perkara yang furu' (perkara cabang) dan kita tidak boleh langsung berkompromi dalam hal Usul (perkara asas dalam Islam; cth aqidah, bilangan rakaat solat dll).

Umat Islam harus bersatu....
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersatu dalam perkara pokok (Usul) tidak kiralah mana-mana jemaah yang telah sabit nas syarak yang qat'ie. Namun kita boleh khilaf dalam perkara cabang dan nas yang zanni. Perkara cabang ini tunduk kepada ijtihad dan ijtihad membuka kepada medan perselisihan pendapat. Dan mungkin inilah kita sedaya mungkin menolak puak Islam Liberal (rujuk entri 21 Mei) yang cuba berijtihad pada perkara pokok (Usul) yang telah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi.

Empat Imam Mazhab....
Hasil daripada iktilaf ini jugalah munculnya ajaran empat Imam Mazhab Ahli Sunnah Wal Jama'ah Maliki, Hanafi, Syafie' dan Hanbali hasil daripada ijtihad mereka. Namun keempat-empat mazhab ini berasal daripada satu sumber yang sama iatau AlQuran dan Sunnah dan inilah yang membezakan kita dengan pengikut Syi'ah. Banyak sebab yang terjadinya khilaf ini antaranya nas syarak tidak sampai, tabiat nas qat'ie dan zanni itu sendiri, perbezaan budaya setempat, faktor geografi dll.

Eksperimen UNGS...
Sempat juga Dr Hikmatullah buat satu ekperimen (kelas UNGS pun ada eksperimen...???). Apabila seberkas air putih dianalogikan sebagai sumber ilmu dari Al Quran dan Sunnah. Dan kemudiannya seberkas air putih itu dicedok oleh pelbagai jenis pencedok yang berbilang saiz. Ada pencedok yang besar tapi berlubang. Ada juga pencedok kecil, sederhana. Begilah tamsilan bagaiman setiap individu berlainan mengambil sumber ilmu yang sama (bekas air) dan bergantung kepada bagaimana kapasiti dan kemampuannya (pencedok pelbagai saiz). Ada indivudi yang mampu menggali bayak khazanah ilmu daripada Al Quran namun ilmunya hilang ditelan masa (pencedok besar tapi berlubang). Ada individu yang hanya mampu meneroka sedikit sahaja ilmu Allah yang Maha Luas ini tapi berkekalan ajarannya. Jangan tersilap!! Terdapat berbagai-bagai mazhab lain yang pernah muncul antaranya diasaskan oleh Abu Abdul Rahman b. Muhammad al-Azwa'I, Abu Sulaiman Dawud yang dikenali Zahiri dll (sekadar menyebut beberapa nama). Namun yang paling besar dan bertahan adalah empat Imam Mazhab yang besar itu.

Perbezaan mazhab seperti yang dinyatakan di atas bukanlah menunjukkan kelemahan ajaran Islam. Ia menunjukkan bahawa betapa geniusnya undang syari'ah itu dan membuktikan hasil kerja tinggi hasil perbahasan Imam-imam yang semestinya melahirkan keputusan yang terbaik. Dan kita umat Islam sekarang mewarisi sebegitu lengkap hasil kerja mereka yang merangkumi segala aspek kehidupan umat Islam itu sendiri. Wallahu'alam.

Fakta menarik 1:
Seingat aku sem ni juga aku tak pernah menjejakkan kaki lagi ke Kuliyyah Engineering. Kelas aku kat area admin.

Fakta Menarik 2:
Dan juga tak silap aku, hanya aku pelajar Engineering tunggal yang masuk kelas tu. Aku belajar dgn kebanyakan budak Law, Economics dan lain-lain kuliyyah. Emmm... satu persaingan yang sihat dan dahsyat buat aku....


alone at 10:06 AM


Thursday, June 02, 2005


Senja di Jabaliya...

Sore petang ini sungguh indah nan damai. Sedamai biru Laut Mediterranean yang tenang dipuput bayu. Ombak mencecah gigi air menimbulkan riak-riak buih. Di manakah lagi dapat ku cari ketenangan sebegini di bumi bergolak ini. Nun di beting pasir sana kelihatan sekeluarga bahagia sedang mengecapi saat bahagia. Meskipun pada wajah mereka segaris calar kesedihan akibat derita perang namun itu tidak menghalang mereka untuk senada bergembira. Cuma aku di sini masih mengenangkan silam yang pahit.

*****************

"Fetima, abang akan turut sama mengangkat senjata menentang Yahudi laknatullah itu," tergambar keseriusan di wajah bersih itu. Berjambang nipis dengan janggut sejemput sebagai pemanis.

"Sudah abang fikir masak-masak?" tukasku menimbulkan wacana keraguan. Agak terkejut dengan keputusan drastiknya. Mana mungkin dia bergurau.

"Takkan Fetima nak abang berdiam diri, setelah apa yang mereka dah lakukan pada keluarga abang. Abang tak nak kematian abi menjadi sia-sia...!!"

Ketegasannya terserlah. Ciri lelaki punya prinsip dan pegangan. Terpempan sebentar aku dengan ego lelakinya.

"Maafkan abang...tak bermaksud nak meninggikan suara"
"Tapi..abang..."
"Abang faham maksud Fetima... Jangan risau pernikahan kita akan tetap seperti biasa setelah abang pulang dari medan nanti..." Nadanya kembali lembut. Ada getar di hujung suaranya.

Sungguh berat aku nak melepaskan dia pergi. Pertemuan petang itu benar-benar membungkam rasa hati. Pertunangan yang diuruskan oleh orang tua hanya baru beberapa bulan berlalu. Janji diikat antara dara dan teruna sebagai lambang penyatuan dua hati yang sebelum ini asing antara satu sama lain. Namun, tragedi itu menidakkan perancangan manusia.

Lamunanku tersentak. Angin puput tiba-tiba menjadi keras sebentar menerbangkan tudung litup aku ini. Di hujung beting pasir sana keluarga itu sudah mula beransur. Cuma aku masih setia menjadi saksi terbenamnya matahari. Sinar matahari petang musim panas ini masih berbahang...


Jumaat 18 Syaaban 1424
Tentera Yahudi Laknatullah mengganas lagi. Kali ini disasarkan kepada penempatan yang berada disepanjang Green Line. Misi mereka ialah untuk merobohkan rumah yang berada di sepanjang laluan pembinaan tembok untuk memisahkan penempatan Palestin dan pendatang haram Yahudi. Seluruh keluarga yang terlibat membantah. Jentolak berperisai diiringi kereta kebal dan sepasukan tentera lengkap bersenjata, gah apa yang ada di laluannya. Penduduk sekitar keluar berdemonstrasi menghalang kemaraan jentolak apabila menghampiri rumah mereka. Apakan daya, manusia kerdil beradu dengan kereta kebal gagah. Peluru hidup dilepaskan atas alasan menghalang keganasan dan kekacauan. Pak Cik Ziyad antara yang rebah disapa peluru tidak bermata atas nama pengganas. Pengganas yang mempertahankan hak sendiri daripada dicabuli. Pengganas yang bermodalkan tangan kosong menentang. Pengganas yang begitu murah nyawanya sehingga boleh mati begitu sahaja...

********************

Melalui ayah saudaraku, aku mengetahui bahawa abang Ahsan menyertai satu briged pejuang yang telah sekian lama berjuang demi membebaskan bumi bertuah ini daripada cengkaman Zionis. Tumpuan mereka ialah untuk menyerang kawasan strategik tentera Israel dan pos kawalan mereka dan sama sekali mereka tidak sasarkan kepada penduduk awam. Walaupun pejuang ini sedikit bilangannya namun mereka mendapat sokongan padu penduduk tempatan yang ingin melihat terusirnya pendatang haram dari bumi mereka. Tiada istilah rundingan dalam perjuangan pembebasan. Bagi mereka berserah ertinya mengalah. Tentera Israel yang lengkap bersenjata pun kadang kala tewas ditangan pejuang yang mempunyai semangat jihad yang tinggi ini. Imbauan perang Badar tergambar semula di bumi ini. Aku bangga denganmu, Ahsan.

Dua beradik kini melintas dihadapanku bermain di gigi air. Sambil si ayah mengingatkan berhati-hati dari jauh belakang, si ibu disebelah tertawa kecil. Melihat keletah anak mereka yang ralit bermain air. Oh...ini keluarga yang tadi berada di beting pasir hujung pantai sana...

Lamunanku bersambung...
"Fetima, kenal Sallehudin Al-Ayyubi?"dia cuba menduga akal aku suatu petang sebegini suatu ketika dulu.

"Masakan Fetima tidak kenal. Tokoh teragung kita umat Islam yang telah membebaskan bumi kita ini dari cengkaman pihak Kristian" jawabku petah. Menyoroti kembali kisah sejarah yang kini hampir dilupakan oleh watan. Walhal sejarahlah yang menjadi tunjang peradaban sesuatu tamadun. Sejarah mengajar kita segala-galanya agar tidak mengulagi kesilapan lampau.
"Tanggal 27 Rejab, pada hari Israk dan Mikraj, Masjidil Aqsa kita itu telah berjaya diduduki semula dan azan kembali bergema dilaungkan dari mimbarnya." sambungku lagi.

"Ya memang benar, tidak sampai 90 tahun tentera Salib memerintah bumi kita ini, beliau telah muncul dengan membawa kemenangan Islam dalam peperangan Hittin itu. Kini, umat ini sekarang memerlukan lagi tokoh seperti Salehuddin Al-Ayyubi untuk membebaskan semula bumi Palestin kita ini dari cengkaman kuffar." Ayat penyata yang mengundang cabaran.

"Apakah akan muncul lagi pemuda yang bersifat berani dan gagah seperti Salehuddin Al-Ayyubi" soalku balas.

"Pasti ada," jawabnya ringkas sambil tersenyum bermakna.


*****************

Pagi itu, sebelum berangkat ke medan, abang Ahsan benar-benar ingin bertemu denganku. Dia tiba di rumahku dengan sut lengkap seorang pejuang. Ummi menyambutnya di muka pintu. Kulihat ada sirna di wajahnya. Tenang dan damai.

"Fetima, ini mungkin pertempuran terakhir abang sebelum kita diijabkabulkan minggu depan." Katanya mengundang pengharapan.

Aku terkesima. Hati bercampur baur. Mataku berkaca dengan air mata. Antara tangisan kegembiraan atau kesedihan aku pun tak pasti. Pengharapan yang diberikan oleh lelaki yang bakal menjadi pelindungku. Kini dia menjadi pelindung ummah. Akan aku berusaha menjadi suri yang terbaik buat pejuang sepertinya.

"Janganlah bersedih Fetima, dengan izin Allah abang akan pulang membawa kejayaan untuk bumi kita ini. Akan abang rampas kembali hak kita yang telah diragut oleh mereka", ucapannya penuh berani. Terpancar semangat Salehuddin Al-Ayyubi sepertimana idolanya.

"Pergilah abang, ummah lebih memerlukan abang ketika ini. Fetima doakan keselamatan abang dalam perjuangan nanti", ucapku sambil cuba menyeka esakan dan air mata.

"Terima kasih Fetima, akan abang bawa pulang sekali mahar untuk pernikahan kita nanti, Assalamualaikum", ucapan terakhirnya ini penuh bermakna. Tak dapat aku menangkap maksudnya. Namun, aku redha.

Rona merah matahari mula berserakan didada langit. Menimbulkan satu lukisan alam abstrak lukisan Ilahi yang indah nian. Biasan di hamparan laut biru memberikan warna baru kepada permaidani berkilau ini. Matahari seolah meminta diri untuk berlabuh setelah seharian penat belayar di angkasa. Sahabat karibnya, malam, akan menggantikan tempatnya tidak lama lagi. Burung sudah mula sibuk pulang ke sarang. Cuma aku masih berteleku di sini...

Seusai solat Asar pada suatu petang itu, aku memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Agar diselamatkan pejuang kebenaran seperti abang Ahsan dan kumpulannya. Sungguh khusyuk uzlah aku petang itu. Terasa damainya hati meskipun di luar sana penuh dengan kekacauan. Tiba-tiba kesunyian petang itu tiba-tiba pecah...

Di sepanjang jalan di bandar Tulkarem ini tiba-tiba riuh dengan gelombang manusia. Masing-masing berteriak melaungkan kalimah tauhid menyuarakan rasa marah dan kecewa. Dalam sekelip mata, gelombang manusia ini mampu mengumpul beribu-ribu orang untuk sama-sama keluar menyertai mereka. Aku masih terpinga-pinga menjenguk dari jendela kamar ini tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Hati aku tiba-tiba berdegup kencang... Adakah?

Pintu bilikku diketuk kencang. Meluru aku membukanya. Rupanya ayah di muka pintu. "Fetima, Ahsan syahid. Kumpulannya terperangkap dalam pertempuran dengan tentera Israel laknatullah. Bersabarlah..."

Terjelepuk aku terduduk. Air mata mencucur deras tanpa dapat diseka lagi. Hati ini bagai direntap hilang segala kekuatanku. Punah segala mahligai impian. Argh...aku tak boleh begini. Mana semangatmu yang dulu berkobar-kobar. Apa yang boleh berubah seandainya engkau duduk terjelepuk begini sahaja... Mana semangat Salehudin al-Ayyubi, yang sekian lama terpahat dalam benakmu???

Ya....aku tidak sepatutnya menangisi pemergian abang Ahsan kerana pemergian adalah melalui jalan yang termulia. Andaikata aku meratapi kematiannya ini seolah-olah aku tidak redha dengan perjuangannya dan juga perjuangan fisabilillah yang suci ini. Perjuangan mereka yang disalahtafsirkan oleh pihak kuffar dan juga sesetengah dunia Islam yang lain sebagai pengganas sia-sia. Tapi, apa yang mereka tahu. Tidakkah mati mempertahankan aqidah dan watan itu lebih baik daripada mati sakit di atas katil. Pulang jasadnya tanpa nyawa membawa mahar seperti dia yang dijanjikan. SYAHID...! Mungkin inilah mahar yang dia lafazkan dulu.

Ada jernih panas mengalir lesu di pipi. Aku menangis terkenangkan rakaman hidup lalu. Teleku aku masih belum berakhir meskipun matahari sudah malap dimamah kaki langit. Mencari secebis kekuatan diri dari alam ini. Di tengah pantai saujana ini terasa betapa kerdilnya diri. Ku pujuk hati lara ini agar tidak berterusan dicucuk jarum hasutan syaitan. Doa dan istighfar sebagai penawar.

Hidup perlu diteruskan. Perjuangan belum lagi selesai. Langkah derap aku susun melangkah pulang. Meninggalkan babak-babak pilu dalam kitaran hidup bersama dengan angin bayu malam yang mula berpuput. Dengan harapan agar sinar mentari esok bakal memberi kejayaan ke arah perjuangan pembebasan bumi suci bertuah ini. Islami Ya Quds!!!

m_khair©
mohdkhairuladha
Kuliyyah of Engineering
International Islamic University Malaysia
محمد خيرالأضحى بن محمد جميل
كلية الهندسة
الجمعة الأسلامية العالمية ماليزيا


alone at 10:13 AM




.CREDITS

Designed by: hawKS
Pictures from: deviantART
Specially made for: benS