Baru punya……………………….. ::T e r a t a k K h a i r:: ::T e r a t a k<<>>K h a i r::: August 2004
Friday, August 27, 2004


27 August 2004
11 Rejab 1425

Sayyidul Ayyam muncul lagi. Sepertimana minggu-minggu yang lalu tetap jua ia menjelma menurut arahan Yang Maha Kuasa. Hari yang dijanjikan penghabisan dunia padanya. Hari yang mana juga dilimpahi rahmat tak terhingga padanya. Cuma insan sahaja yang tak pandai menghargainya. Sepertimana aku hari ini :-(

Ahai..sedihnya aku. Kalau tidak sekarang ni sudah pastinya aku bersenang lenang di kampung. Apa agenda aku di rumah pada waktu ini ketika ini ya? Mungkin aku sedang menikmati angin puput dari hamparan sawah belakang rumah, selepas kenyang dengan masakan ibu. Takpun berlumba mengail ikan dengan adik aku sapa paling banyak, itupun kalau air jernih. Mungkin juga sedang berbaring depan tv dengan mata meluyu mengantuk. Ataupun bertunggangkan motor meninjau sekitar daerah yang agak lama aku tak tinjau. Pastinya ada perubahan terbaru. Tapi apakan daya aku tak pulang.

Memang sejak sekian lama aku dah plan nak balik semalam sempena cuti Merdeka. Nak melepaskan rindu sementalahan cuti mid-sem hari tu tak berkesempatan nak pulang. Awang kenit (adik bongsu aku..) yang sorang tu pun dah tertanya-tanya ibu bila hero kesayangan dia ni nak balik. Sehinggalah semalam sebelumnya aku telefon rumah, menyatakan ketidakdapatpulangan anak teruna dia ni. Dengan jadi fasi program Festival Merdeka dengan Remaja di Masjid KLCC dan ziarah ke rumah ustaz menidakkan hasrat aku. Ditambah pula dengan bebanan tugasan pelajar yang melimpah ruah. Takpa ibu, perjuangan memerlukan pengorbanan. Syukur ibu memahami, Alhamdulillah.


alone at 2:28 PM


Tuesday, August 24, 2004


24 August 2004
8 Rejab 1425

Hari terakhir Convocation Fiesta di Taman Ilmu dan Budi ini. Hari ni sempat aku tengok para graduan melaram dengan jubah grad di sekitar kampus ni. Yang brothers segak bersongkok dihiasi sulaman lambang dan sisternya ayu dengan tudung litup berselitkan juga ‘line’ bersulamkan lambang. Diselimuti jubah rona hijau labuh paras betis penuh dengan tekatan dan sulaman menjadi uniform wajib bagi mereka. Ada yang bertemankan keluarga, suami, isteri tercinta dan insan tersayang bagi meraikan majlis penting bagi insan yang bergelar pelajar universiti. Di tengah-tengah panas begini sanggup mereka melaram jubah tebal ini di sekitar kampus mencari view yang menarik untuk bergambar kenang-kenangan. Takpa bukannya selalu, mungkin sekali seumur hidup. Nak tergelak aku pun ada tengok gelagat abang2 dan akak2 ni. Ceh...kata kat orang, nanti aku pun sama macam depa gak. Tah-tah lagi sakan kot :-)

Insya Allah selepas ini akan aku muatkan dalam blog ini, beberapa sinopsis buku-buku yang ada dalam koleksi aku selama ini. Sebagai teladan dan sempadan.

Bedah Buku:
Tajuk: Tangisan bangsaku
Penulis: Arifin Ngah
Harga: RM 19.00 [Kinokuniya]

Karya daripada siri sastera moden utusan yang memenangi anugerah satera Darul Iman. Memperihalkan kisah kaum tani menentang penjajahan kuffar, Inggeris ke atas bumi Melayu. Penulis ini menyingkap semula susur galur perjuangan tokoh terkenal, Haji Abdul Rahman Limbong dan menceritakan kembali sejarahnya yang hanya kita baca secebis dalam buku teks Sejarah. Berpaksikan agama sebagai landasan, dan hak sebagai alasan, pimpinan tuan guru Abdul Rahman Limbong bangun ‘memberontak’ dengan darah dan air mata. Inggeris seperti biasa menafsirkan perjuangan suci mereka ini sebagai pemberontak. Semangat jihad yang amat ditakuti kuffar itu menyala dari setiap jiwa yang rindukan syahid, sebagaimana juga penduduk Alur Limbat. Penulis menterjemahkan semula sejarah dalam bentuk penceritaan yang lebih teliti dan dapat dihayati dengan mudah semangat masyarakat kita dahulu menentang penjajah. Semangat yang kini kita hilang akibat terkikis nilai-nilai Timur dan kefahaman terhadap Ad-Deen tauhid kita ini. Melalui karya ini juga bagaimana kita lihat, penentangan bukannya hanya terhadap kuffar namun juga terhadap tali barut munafik yang terdiri daripada golongan kita sendiri. Betapa hanya dengan kuasa dan harta, manusia sanggup menjadi ‘kerbau dicucuk hidung’ dan mengorbankan jati diri dan agama yang menjadi lambang tinggi nilai diri seseorang. Selain Tuk Guru, ada beberapa watak lain yang turut menjadi kepada pemangkin kebangkitan semangat juang kaum tani, termasuklah anak terunanya, Mat Solah dan beberapa sahabatnya. Di sini kita lihat betapa hebatnya peranan golongan muda yang merupakan pasak kepada berjayanya sesuatu perjuangan. Namun dimana anak muda kita kini sepatutnya diharapkan menjadi sebagaimana Mat Solah? Cerminan pertanyaan yang patut dihalakan kepada aku juga. Cerita selebihnya bolehlah beli atau nak pinjam pun dialu-alukan.


alone at 2:25 PM


Friday, August 20, 2004


20 August 2004
4 Rejab 1425

Usrah petang Jumaat ini berkisar tentang jin dan syaitan. Pada mulanya ustaz menghuraikan ayat surah Al-Baqarah bermula ayat 30 yang merupakan dialog antara Allah dan malaikat mengenai penganugerahan tugas khalifah di muka bumi kepada manusia (Adam). Definisi khalifah adalah pengganti dan kita manusia merupakan pengganti kepada Allah untuk mentadbir muka bumi ini dengan sebijaknya. Sepertimana Khalifah Ar-Rasyidin. Mereka semua adalah pengganti kepada nabi untuk meneruskan daulah Islamiah. Kemudian sampai ke ayat 34 yang memperihalkan keengganan Iblis untuk tunduk kepada Adam.

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Pernah tak sebelum ini kita dikisahkan dulu-dulu bahawa Iblis ini asalnya adalah dari golongan malaikat dan juga ketua segala malaikat. Dan nama asalnya adalah Azazil. Menurut ustaz, kisah ini adalah cerita Israiliyat dan disangkal sendiri oleh Al Quran dalam Surah Al Kahfi ayat 50:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.

Nyata sekali iblis adalah dari makhluk jin. Golongan jin ini hidupnya sepertimana manusia. Mempunyai jantina, bermasyarakat, beranak pinak, mati dan juga beragama. Orang bunian, makhluk halus dan yang seumpamanya dengannya adalah contoh jin. Hanya iblis sahaja yang akan kekal abadi kerana dia mempunyai perjanjian dengan Allah bahawa akan hidup sehingga hari penghabisan.

Ustaz Zainudin yang memang berpengalaman berubat dengan makhluk ini walaupun tak pernah melihatnya, ingin mengajar kami ayat yang yang lazim untuk merawat gangguan makhluk sebagai perlindungan diri dan mengubat orang. Tapi tegas ustaz, kemujaraban bacaan bukanlah bergantung kepada ayat yang dibaca tapi diri si pengucap itu sendiri. Imam Ahmad bin Hambal hanya mengirimkan seliparnya sebagai ganti diri untuk mengubat orang yang terkena gangguan makhluk ini, dan hasilnya bertempiaran lari jin dari tubuh mangsa. Mengenangkan diri aku yang hanya seciput amal, segunung dosa, lebih baik aku lupakan hasrat nak mengubat orang. Ustaz nyatakan doa ma’thurat dan mencukupi sebagai perlindungan kita sepanjang hari. Jadi jadikan ma’thurat sebagai amalan harian!

CONVEST lagi....

Ku cuba pujuk kecewa hati, dengan mengunjungi gerai CONVEST malam tu. Malam ni penuh gamat dengan warga uia. Lemas aku dalam lautan manusia. Rupanya di hujung sana di Culture Stage ada persembahan nasyid UNIC, InTeam dll. Pentas hadapan sudah pasti dipenuhi kaum hawa. Aku memang tak betah nak tunggu lama-lama. Dari satu gerai ke satu gerai aku dan din scan. Gerai buku yang menjadi tumpuan aku. Maaf din, terpaksa melayan kerenah aku. Di atas bukit sana ada fun fair. Aku pun tak faham macam mana benda ni boleh masuk uia. Terjerit-jerit orang berpusing-pusing atas sana. Hilang nilai sebagai pelajar universiti. Malam ni juga aku lihat couple mengambil kesempatan untuk mengeratkan ‘silaturrahim’. Walaupun ada ma’ruf unit yang bertugas tapi pasti tak dapat mengawal selaut pelajar macam ni. Nasib couple aku malam ni Din, tak ada sapa nak kata apa-apa:)



alone at 3:59 PM


Thursday, August 19, 2004


19 August 2004
3 Rejab 1425

Salam khair....

Sudah dua hari CONVEST bermula uia ni. Yang lain sibuk dgn acara di Convest, aku sibuk dgn exam pada malamnya. Kemeriahan Convest tak dapat aku rasakan lantaran kekecewaan exam aku mlm tadi. Dengan langkah seorang perwira aku melangkah masuk ke dalam Lecture Hall I Economics dengan penuh keyakinan tersemat dalam dada. Aku rasa dah well-prepared tak seperti exam aku yang sebelum cuti dulu. Namun, ketika di gelanggang perjuangan, langkahku sumbang. Segala bunga dan pencak yang aku pelajari tak dapat aku tarikan. Semuanya bagaikan terbuku dalam kepala otak yang sebesar dua penumbuk ini. Hampir menangis aku, tapi cuba ditahankan. Mengenangkan aku lelakilah aku menahan sebak. Habis masa dalam dewan exam tu, memikirkan apa salah dan silap aku, tanpa memikirkan apa yang patut aku tulis atas kertas exam tu.

Hendak diikutkan memang tak ada masalah bagi aku sebab segala jurus yang diuji dalam kertas exam tu sudah aku hadam. Cuma tinggal nak dipersembahkan sahaja. Itupun aku tak mampu.

Pulang dengan langkah longlai meskipun masa berbaki beberapa minit lagi. Kemeriahan opening ceremony Convest dengan persembahan nasyid dari stadium sedikitpun tak menarik hati untuk singgah. Aku dail sahabat yang pasti boleh membantu, tak berjawab. Tak seperti biasa malam tu, aku tidur awal...



alone at 3:54 PM


Tuesday, August 10, 2004


10 August 2004
23 Jamadil Akhir 1425

Salam khair...` Fuh [bukan keluhan tapi kelegaan].... Sudah hampir sekian lamanya sudah aku tidak menelusuri alam maya ini, bermakna juga selama itulah tiada berita terkini dari aku. Ku kira-kira hampir lebih sebulan lamanya aku tidak mengemaskan ‘sawang’ dan ‘habuk’ yang melitupi teratak ku ini dan juga selama itulah jariku tidak lincah menari atas keyboard ini. Selama itulah jugalah sejarah hidup aku hilang tanpa catatan. Lantaran kesibukan tanggungjawab yang keliling dan ditambah dengan kemalasan azali aku menyebabkan tidak konsistennya aku dalam catatan kembara aku ini. Rehlah m_khair. Satu lagi karya setanding Rehlah Ibn Battuta. :)

Kini aku kembali mungkin untuk sementara atau hingga akhirnya. Siapa tahu? Bergantung kepada darjah kemalasan aku dan juga kuantiti ‘workload’ bebanan dan tanggungjawab aku untuk semester ini. Apa yang pasti, semuanya bergantung kepada izin-Nya.

Sedari atau tidak, aku kini dah separuh perjalanan untuk mengakhiri semester ini. dalam cuti semester inilah, baru aku berpeluang menghargai sedikit masa yang aku ada ini untuk memperbaiki diri aku ini. Moga dengan tulisan aku ini lebih memberi motinspirasi buat diri ini.
Terasa benar betapa diri ini mudah tersasar dan goyah pendirian menghadapi satu demi satu ujian duniawi yang menjadi penentu ke dunia ukhrawi sana. Dan juga betapa lemahnya diri kerana sikap diri yang menjauhkan pertolongan dan rahmat Allah. Muhasabah dan istighfar tidak mencukupi untuk menjernihkan hati yang gelap dengan dosa dan salah. Mampukah aku nanti memastikan neraca mizanku condong ke kanan. Ah...betapa kerdilnya diri.Lima ujian mid-sem yang aku lalui, memang benar-benar meng’hampeh’kan aku. Usahanya ada tapi jalannya tiada. Mungkin dikaburi samar yang tidak disuluhi rahmat Ilahi. Bermula dengan Fluid Mechanics pada hari pertama Ogos, starting yang baik bagi subjek pembunuh sepertinya. Diikuti dengan Introduction to Flight dua hari selepasnya [03/08], kemerosotan mendadak kerana soalan mudah tak mampu dijawab dgn baik. Menyusul pula Principles & Practise of Management pada 05/08, memang benar-benar pasrah kekecewaan, apa yang disumbat dalam kepala ini tak mau keluar dalam dewan exam. Dan kesengsaraan seketika aku berakhir dengan pada 07/08 dengan dua das ledakan exam pada petangnya, Mechanics of Materials dan pada malamnya Calculus III. Penamat yang agak malang bagi aku. Kini aku hanya mampu berserah dan bertawakal.

Setelah dikaji-kaji dan dibelek-belek akan diri ini mengapa boleh terjadi begini, maka tersembullah beberapa kelemahan yang aku kira bukan kerana masalah teknikal namun kerana masalah diri sendiri. Sengaja mencari penyakit tapi tak mau cari penawar. Bertangguh kerja, skip kelas penting, pemahaman last minute, tak hantar homework antara punca kerosakan yang perlu dibaiki atau diganti terus. Namun, masalah yang terbesar yang serasa aku punca yang sebenarnya bagi segala masalah ini ialah amal aku. “Amalan harian menentukan segalanya”, ucap pengetua aku dulu, Cikgu Khalid Dan. Payah benar aku nak subuh berjemaah sepertimana semester lalu. Alasan diri, jauh, penat nak ke masjid tapi tidak timbul persoalan ini sepanjang tiga sem lepas. Program ilmiah juga kekadang terlepas lantaran kesibukan kelas malam dan bisnes. Usrah mujur baru bermula semula oleh naqib baru, Ustaz Zainudin. Tak mampu nak menggerak rakan sebilik kepada perkara yang haq. Tiada beza lagi antara hari-hari lain dan Isnin, Khamis bagi hari melapangkan perut. Apatah lagi nak qiam setiap minggu. Kononnya nak kejar title “ruhbanun fillail wa fursanun finnahar”.

Aku sebenarnya baru balik dari hutan petang semalam. Seusai exam malam tu, paginya aku celapak naik kereta Ucop ke Hutan Lipur Lentang kat Karak highway nun untuk program camping QYC. Walaupun lambat sehari program, at least dapt juga aku lupakan seketika hal ehwal exam dan beruzlah dalam hutan ini bertadabbur memikirkan hal pencipta aku. Bertemu aku dengan Ustaz Asmadi, mudir Sekolah Adni yang sekian lama aku tak nampak. Kali terkhir aku terserempak dengan dia dulu kat Carefour dengan zaujah dia sewaktu aku ngan Din membeli ‘barang dapur’. Camping yang aku kira seperti miltary training ini, benar menuntut kekuatan fizikal. Leftenan Asmadi (bekas tentera Singapore) menggunakan segala ilmu tentera untuk melatih lasakkan kami. Akhawat tak terkecuali. Bilangnya sebagai persediaan. Takkan nak tunggu krisis baru nak merasa susah begini, baru nak belajar ilmu perang ini. Seorang budak Bosnia yang turut serta, Benjamin pastinya sudah biasa dengan situasi perang. Baginya tiada apa atas yang kami lalui ini. Aku sampai terluka kaki akibat berguling landing atas batu.

Malamnya ada talk daripda seorang ikhwah, lecturer dari Mesir tapi berkahwin dgn sister tempatan. Cerita berkisar situasi dakwah di UK dan Mesir. Tertanam azam jiwaku untuk merasa suasana dakwah di UK sana. Kalau ada rezeki dan umur panjang, InsyaAllah aku nak further study kat sana. Kalau lihat condition aku sekarang memang agak mustahil. Tapi aku yakin dengan pertolongan Allah. Ya Allah! Berikanlah hamba-Mu ini kesempatan ini.



alone at 10:43 AM


Sunday, August 08, 2004


11 August 2004
24 Jamadil Akhir 1425

Cuti ini benar-benar aku melapangkan aku. Segala hal yang tertangguh sejak awal semester dulu boleh aku langsaikan sekaligus. Hari ini juga aku bayar bil phone yang tertangguh. Hari ni juga aku setelkan urusan MyKad. Jadi hari ni aku punya masa untuk menulis. Jangan lupa, aku punya berapa buku yang dah lama beratur atas rak tu menunggu untuk aku membelai mereka. Tak berkesempatan nak khatamkan. Tangisan Bangsaku, Desperately Seeking Paradise dan The Road to Peace masih belum lunyai aku canaikan.


alone at 3:44 PM




.CREDITS

Designed by: hawKS
Pictures from: deviantART
Specially made for: benS