21 April 2005
12 Rabiul Awal 1425
12 Rabiulawal VS 14 Februari
oleh: me, myself and I
Hari ini merupakan Hari "Valentine" bagi orang Islam. Hari mengingati kekasih yang tidak pernah kita bersua, bertentang mata apatah lagi mengucup dahinya. Hari untuk kita menunjukkan betapa dalamnya cinta kita terhadap kekasih yang dirindui, yang jauh di mata dekat di hati. Hari yang sepatutnya disambut lebih meriah oleh golongan muda-mudi kita kini berbanding dengan Hari Valentine, 14 Februari.
Bezanya, tiada acara bertukar-tukar bunga Ros merah dan coklat tapi apa yang ada adalah laungan selawat yang pastinya menjanjikan tukaran syafaat daripadanya kelak. Tiada agenda membawa kekasih bersiar-siar memadu kasih tapi apa yang ada hari ini ialah perarakan besar-besaran memuji Allah dan Rasul Nya sebagai tanda cinta yang tak berbelah bagi. Juga tiada acara "candle light dinner" sebagai tanda rela sehidup semati tapi apa yang ada kenduri-kenduri kahwin sebagai meraikan hari cuti dan juga meraikan bangganya kekasih kita dengan umatnya yang ramai. Kendatipun budaya masyarakat Mexico menjadikan muzik sebagai tempat menyatakan rasa cinta, budaya masyarakat Amerika dengan kiriman kad valentine, kita pun tak kurang hebatnya dengan alunan pelbagai selawat sebagai lagu meluahkan perasaan cinta kita terhadap kekasih kita itu dan kain rentang yang berkali-kali ganda besar daripada kad. Kan lebih molek kalau kita menjadikan Hari "Valentine" Islam ini sebagai platform untuk menyatakan rasa cinta kita bukan sahaja terhadap kekasih Allah itu bahkan juga buat suami, isteri, anak-anak, masyarakat dan juga umat (bukan awek, girlfren, boyfren, pakwe, balak dll)!!! daripada mengagungkan budaya Valentine barat yang langsung tidak memberi apa-apa makna dalam dunia Islam.
Namun apa yang penting ialah bagi kita ialah bagaimana untuk menjadikan kekasih kita itu hanya semata-mata untuk disayangi dan dan dirindui, malahan juga sebagai idola, bintang pujaan hati yang boleh ditiru perilakunya dan diikut trendnya oleh golongan muda kini. Kita kini di'semak'kan kepala otak kita dengan pelbagai rancangan yang menjadikan golongan artis sebagai tokoh seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Audition dan Anugerah Bintang Popular dan pelbagai lagi yang menyebabkan kita rabun ayam terhadap siapakah sebenarnya yang patut dijadikan idola. Artis? Pemimpin negara? Ulama? Ahli Ilmuwan? Jutawan? Ahli Sukan?. Sesungguhnya pada Rasulullah kekasih kita itu ada suri teladan yang sempurna. Akhlaknya adalah Al-Quran itu sendiri sebagaimana kata isterinya, Aisyah.
Meskipun kekasih ini sudah lama pergi namun dia tidak lupa meninggalkan dua hadiah yang besar kepada kita, Al-Quran dan Sunnah. Meskipun kekasih ini juga tidak pernah bertentang mata dengan kita, namun dia masih menyebut nama kita hingga akhir hayatnya, Ummati, Ummati. Nah! Selayaknya dialah menjadi kekasih sejati kita lantaran betapa dalam kasihnya terhadap kita. Mengapa kita masih mengagungkan kasih insan yang lainnya selain Rasulullah. Meskipun jasadnya sudah lama bersemadi di Bumi anbiya', namun dia masih tinggalkan harumnya buat kita manusia zaman ini. Perilakunya dan contoh tauladannya mewangi menjadi ikutan kita dalam segenap aspek kehidupan. Apatah lagi jasanya membawa kalimah tauhid ini memungkinkan kita mengenal Allah itu satu. Dan juga bekas-bekas jejak langkahnya dalam menegakkan agama suci ini menjadi panduan perjuangan buat kita umatnya yang wasatan.
Masih banyak lagi hikmah daripada sirah kekasih Allah ini yang belum kita gali dan korek terutamanya panduan menjadi seorang remaja, pemuda dan belia yang ideal. Menyelusuri perjalanan hidupnya satu persatu menyebabkan hati kita patut sebak memikirkan betapa mudahnya hidup kita hari ini. Itupun kita sebagai remaja sering mengeluh tidak cukup itu ini. Melalui biodatanya kita mengenali betapa kayanya dia dengan pekerti meskipun dia tidak sepandai mana (tak tahu membaca langsung!). Melalui cerita yang dibawa oleh sahabat beliau yang boleh dipercayai (sunnah), kita dapat tahu makanan kegemarannya, trend pakaian kesukaannya, apa yang dia suka, dan apa yang dia benci. Kerana apa yang dia suka itu tentulah perkara yang baik kita ikuti dan apa yang dia benci itu tentulah perkara yang ditegah Allah. Kan betapa sempurnanya hidup kita jikalau Rasulullah menjadi kekasih dan idola kita. Tak begitu kawan-kawan?