Baru punya……………………….. ::T e r a t a k K h a i r:: ::T e r a t a k<<>>K h a i r::: Aeroangkasa
Thursday, May 05, 2005


5 Mei 2005

Artikel aku berkenaan isu ini yang aku cuba hantar kat Berita Hairan(?) dua, tiga minggu lepas untuk disiarkan. Aku perturunkan kat sini sebagai nak mengubati kekecewaan artikel aku ini direject (aku check paper tak keluar pun). Sekurang-kurangnya dengan tersiarnya kat blog ini, bolehlah menyedarkan beberapa pihak yang mungkin terbaca.

Saudara pengarang,
Merujuk kepada isu pemindahan program Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa UPM ke UKM dan penggabungan dengan Jabatan Angkasa UKM adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar dan mengejutkan banyak pihak terutamanya yang terlibat dalam industri angkasa negara.

Pada hemat saya sebagai graduan aeroangkasa yang terlibat secara langsung dalam bidang pengajiaan ini dan bakal menjadikan bidang ini sebagai kerjaya merasakan ini adalah satu kerugian kepada pelajar dan negara sendiri yang berhasrat untuk melihat Malaysia menjadi salah satu daripada negara 'kuasa besar' yang mempunyai teknologi ini apatah lagi bidang ilmu ini yang kini dianggap kritikal.

Ini adalah kerana betapa pentingnya untuk menguasai ruang udara dan angkasa kerana kedaulatan sesebuah negara itu merangkumi bukan sahaja tanah sempadannya. Tambahan pula, betapa perlunya menguasai kawasan tinggi sebagai simbol kemenangan ke atas musuh yang berada di bawah seperti yang tersebut dalam falsafah perang lama.

Sesungguhnya, penerokaan bidang ilmu aeroangkasa itu amat luas sebagaimana luasnya angkasa itu sendiri. Program pengajian angkasa yang ditawarkan di UPM dan UKM sememangnya amat berbeza sekali meskipun mencakupi dalam satu bidang ilmu yang sama. Jabatan Angkasa di UKM lebih menumpukan kepada sains angkasa yang berkaitan astronomi, cakerawala dan planet manakala Kejuruteraan Aeroangkasa UPM lebih berkaitan hal-hal teknikal berkaitan pesawat terbang dan pesawat angkasa lepas. Analoginya sepertimana pengkhususan akaun dan ekonomi tidak boleh digabung dalam dibawah satu program pengajian meskipun ianya dalam bidang ilmu yang sama iaitu Perniagaan.

Jadi tidak hairanlah isu ini mendapat bantahan langsung daripada Senat UPM dan ahli akademiknya yang lebih memahami berkaitan industri dan bidang ilmu ini. Jadi kami sebagai graduan aeroangkasa yang punya harapan tinggi untuk melihat negara mengorak langkah dalam bidang ini turut sama membantah cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi ini. Meskipun kami merupakan pelajar IPT lain yang tidak terlibat dalam proses pemindahan ini tapi turut merasakan tempias kerisauan 120 pelajar sahabat kami di Kejuruteraan Aeroangkasa UPM. Kami merasakan sedemikian kerana tidak mustahil kami juga akan menjadi sasaran selepas ini. Negara kita ini pada masa akan datang akan kehilangan kepakaran jurutera aeroangkasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pengajian yang dibentuk oleh acuan universiti masing-masing sama ada daripada universiti tempatan mahupun luar negara.

Apa yang dimaksudkan disini ialah setiap universiti pasti mempunyai visi dan misi tersendiri untuk membentuk graduan mengikut acuan dan tradisi mereka. Jika graduan lepasan pelbagai jenis universiti tempatan dan luar negara yang mempunyai pelbagai idea dan cara bekerja bergabung tenaga bekerja dibawah satu bumbung untuk memajukan negara ini pastinya menjadikan bukan sahaja industri aeroangkasa negara menjadi lebih berkembang bahkan juga industri pertanian, pendidikan, pengurusan, pentadbiran negara dan lain lain lagi.

Apa yang difahami oleh kami dengan tindakan untuk memastikan universiti menumpu hanya kepada satu-satu bidang disiplin sepertimana UPM menumpu dalam bidang pertanian, mengapa tidak program pengajian di universiti tempatan lain juga mempunyai penumpuan masing-masing? Sebagai contoh, UTM hanya semata-mata melahirkan graduan teknikal, UIAM hanya menawarkan jurusan agama, UM cuma melahirkan graduan undang-undang dan UUM dalam bidang pengurusan dan pentadbiran perniagaan. Jadi, bagaimana pula hasrat UIAM untuk melahirkan graduan yang mampu mengintegrasikan nilai Islam dan bidang ilmu professional (kejuruteraan, senibina, perubatan) dan visi UTM untuk melahirkan graduan yang kreatif. Bahkan MIT yang terkenal dalam kegemilangan dalam bidang teknologi juga sendiri tidak menawarkan semata-mata program teknikal dalam kursus pengajian mereka.
Sementelahan pula, jika Kementerian Pendidikan Tinggi benar-benar ikhlas dalam pelaksanaan penggabungan ini, mengapakah hanya program aeroangkasa UPM menjadi sasaran penggabungan. Tidakkah mereka sedar bahawa ada kursus dan program pengajian lain yang lebih munasabah untuk bergabung seperti kursus perladangan seperti yang sama-sama ditawarkan oleh UiTM dan UPM serta Sarjana Muda Usuludin UM dan UIAM.(sekadar memberi contoh). Harap ini bukanlah akibat reaksi salah seorang ahli akademiknya mengenai isu "roti canai" dan "teh tarik" yang menyebabkan fakulti kejuruteraan aeroangkasa UPM menjadi sasaran. (Kes Dr. Zek UPM kritik cadangan Dr Mazlan BAKSA nak bawa roti canai dan teh tarik ke angkasa!)

Walhal, program kejuruteraan aeroangkasa di UPM dianggap sudah matang dan tersohor di antara universiti tempatan sehinggakan menjadi rujukan universiti-universiti lain. Mengapa kita perlu mencantas dahan yang telah tegap semata-mata untuk mencambah tunas baru? Biarkanlah dahan yang lama memayungi tunas-tunas yang baru nak berputik ini dan sama-sama berkembang membentuk sepohon pokok yang rendang. Seperti mana saranan dalam Berita Harian semalam agar Kementerian Pendidikan Tinggi menubuhkan sendiri kursus aeroangkasa di UKM. Bukan untuk menidakkan kemampuan UKM untuk mengendalikan fakulti kejuruteraan daripada UPM ataupun menghalang hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi memberi pengkhususan disiplin bagi universiti, tetapi mengapa tidak semua pihak terutamanya pihak universiti bantu membantu bekerjasama untuk meningkatkan lagi kemampuan industri angkasa negara yang kini sedang mengorak langkah untuk maju setanding dengan negara kuasa besar yang lain.

m_khair.aero@iiu.edu.my
Gombak


p/s Ok jugak tak keluar paper. Kalau tidak rasanya aku mungkin pun boleh masuk dalam senarai bakal tahanan tanpa bicara kerana mengkritik dasar-dasar kerajaan. Aku bukannya membangkang, cuma menegur mana yang tak kena. JJ Memang aku akui artikel ini agak sedikit provokasi dan sindiran. Mungkin sebab itulah tak keluar paper. (Ye la kan, media kerajaan)


alone at 12:34 PM




.CREDITS

Designed by: hawKS
Pictures from: deviantART
Specially made for: benS