Baru punya……………………….. ::T e r a t a k K h a i r:: ::T e r a t a k<<>>K h a i r::: Senja di Jabaliya...
Thursday, June 02, 2005


Senja di Jabaliya...

Sore petang ini sungguh indah nan damai. Sedamai biru Laut Mediterranean yang tenang dipuput bayu. Ombak mencecah gigi air menimbulkan riak-riak buih. Di manakah lagi dapat ku cari ketenangan sebegini di bumi bergolak ini. Nun di beting pasir sana kelihatan sekeluarga bahagia sedang mengecapi saat bahagia. Meskipun pada wajah mereka segaris calar kesedihan akibat derita perang namun itu tidak menghalang mereka untuk senada bergembira. Cuma aku di sini masih mengenangkan silam yang pahit.

*****************

"Fetima, abang akan turut sama mengangkat senjata menentang Yahudi laknatullah itu," tergambar keseriusan di wajah bersih itu. Berjambang nipis dengan janggut sejemput sebagai pemanis.

"Sudah abang fikir masak-masak?" tukasku menimbulkan wacana keraguan. Agak terkejut dengan keputusan drastiknya. Mana mungkin dia bergurau.

"Takkan Fetima nak abang berdiam diri, setelah apa yang mereka dah lakukan pada keluarga abang. Abang tak nak kematian abi menjadi sia-sia...!!"

Ketegasannya terserlah. Ciri lelaki punya prinsip dan pegangan. Terpempan sebentar aku dengan ego lelakinya.

"Maafkan abang...tak bermaksud nak meninggikan suara"
"Tapi..abang..."
"Abang faham maksud Fetima... Jangan risau pernikahan kita akan tetap seperti biasa setelah abang pulang dari medan nanti..." Nadanya kembali lembut. Ada getar di hujung suaranya.

Sungguh berat aku nak melepaskan dia pergi. Pertemuan petang itu benar-benar membungkam rasa hati. Pertunangan yang diuruskan oleh orang tua hanya baru beberapa bulan berlalu. Janji diikat antara dara dan teruna sebagai lambang penyatuan dua hati yang sebelum ini asing antara satu sama lain. Namun, tragedi itu menidakkan perancangan manusia.

Lamunanku tersentak. Angin puput tiba-tiba menjadi keras sebentar menerbangkan tudung litup aku ini. Di hujung beting pasir sana keluarga itu sudah mula beransur. Cuma aku masih setia menjadi saksi terbenamnya matahari. Sinar matahari petang musim panas ini masih berbahang...


Jumaat 18 Syaaban 1424
Tentera Yahudi Laknatullah mengganas lagi. Kali ini disasarkan kepada penempatan yang berada disepanjang Green Line. Misi mereka ialah untuk merobohkan rumah yang berada di sepanjang laluan pembinaan tembok untuk memisahkan penempatan Palestin dan pendatang haram Yahudi. Seluruh keluarga yang terlibat membantah. Jentolak berperisai diiringi kereta kebal dan sepasukan tentera lengkap bersenjata, gah apa yang ada di laluannya. Penduduk sekitar keluar berdemonstrasi menghalang kemaraan jentolak apabila menghampiri rumah mereka. Apakan daya, manusia kerdil beradu dengan kereta kebal gagah. Peluru hidup dilepaskan atas alasan menghalang keganasan dan kekacauan. Pak Cik Ziyad antara yang rebah disapa peluru tidak bermata atas nama pengganas. Pengganas yang mempertahankan hak sendiri daripada dicabuli. Pengganas yang bermodalkan tangan kosong menentang. Pengganas yang begitu murah nyawanya sehingga boleh mati begitu sahaja...

********************

Melalui ayah saudaraku, aku mengetahui bahawa abang Ahsan menyertai satu briged pejuang yang telah sekian lama berjuang demi membebaskan bumi bertuah ini daripada cengkaman Zionis. Tumpuan mereka ialah untuk menyerang kawasan strategik tentera Israel dan pos kawalan mereka dan sama sekali mereka tidak sasarkan kepada penduduk awam. Walaupun pejuang ini sedikit bilangannya namun mereka mendapat sokongan padu penduduk tempatan yang ingin melihat terusirnya pendatang haram dari bumi mereka. Tiada istilah rundingan dalam perjuangan pembebasan. Bagi mereka berserah ertinya mengalah. Tentera Israel yang lengkap bersenjata pun kadang kala tewas ditangan pejuang yang mempunyai semangat jihad yang tinggi ini. Imbauan perang Badar tergambar semula di bumi ini. Aku bangga denganmu, Ahsan.

Dua beradik kini melintas dihadapanku bermain di gigi air. Sambil si ayah mengingatkan berhati-hati dari jauh belakang, si ibu disebelah tertawa kecil. Melihat keletah anak mereka yang ralit bermain air. Oh...ini keluarga yang tadi berada di beting pasir hujung pantai sana...

Lamunanku bersambung...
"Fetima, kenal Sallehudin Al-Ayyubi?"dia cuba menduga akal aku suatu petang sebegini suatu ketika dulu.

"Masakan Fetima tidak kenal. Tokoh teragung kita umat Islam yang telah membebaskan bumi kita ini dari cengkaman pihak Kristian" jawabku petah. Menyoroti kembali kisah sejarah yang kini hampir dilupakan oleh watan. Walhal sejarahlah yang menjadi tunjang peradaban sesuatu tamadun. Sejarah mengajar kita segala-galanya agar tidak mengulagi kesilapan lampau.
"Tanggal 27 Rejab, pada hari Israk dan Mikraj, Masjidil Aqsa kita itu telah berjaya diduduki semula dan azan kembali bergema dilaungkan dari mimbarnya." sambungku lagi.

"Ya memang benar, tidak sampai 90 tahun tentera Salib memerintah bumi kita ini, beliau telah muncul dengan membawa kemenangan Islam dalam peperangan Hittin itu. Kini, umat ini sekarang memerlukan lagi tokoh seperti Salehuddin Al-Ayyubi untuk membebaskan semula bumi Palestin kita ini dari cengkaman kuffar." Ayat penyata yang mengundang cabaran.

"Apakah akan muncul lagi pemuda yang bersifat berani dan gagah seperti Salehuddin Al-Ayyubi" soalku balas.

"Pasti ada," jawabnya ringkas sambil tersenyum bermakna.


*****************

Pagi itu, sebelum berangkat ke medan, abang Ahsan benar-benar ingin bertemu denganku. Dia tiba di rumahku dengan sut lengkap seorang pejuang. Ummi menyambutnya di muka pintu. Kulihat ada sirna di wajahnya. Tenang dan damai.

"Fetima, ini mungkin pertempuran terakhir abang sebelum kita diijabkabulkan minggu depan." Katanya mengundang pengharapan.

Aku terkesima. Hati bercampur baur. Mataku berkaca dengan air mata. Antara tangisan kegembiraan atau kesedihan aku pun tak pasti. Pengharapan yang diberikan oleh lelaki yang bakal menjadi pelindungku. Kini dia menjadi pelindung ummah. Akan aku berusaha menjadi suri yang terbaik buat pejuang sepertinya.

"Janganlah bersedih Fetima, dengan izin Allah abang akan pulang membawa kejayaan untuk bumi kita ini. Akan abang rampas kembali hak kita yang telah diragut oleh mereka", ucapannya penuh berani. Terpancar semangat Salehuddin Al-Ayyubi sepertimana idolanya.

"Pergilah abang, ummah lebih memerlukan abang ketika ini. Fetima doakan keselamatan abang dalam perjuangan nanti", ucapku sambil cuba menyeka esakan dan air mata.

"Terima kasih Fetima, akan abang bawa pulang sekali mahar untuk pernikahan kita nanti, Assalamualaikum", ucapan terakhirnya ini penuh bermakna. Tak dapat aku menangkap maksudnya. Namun, aku redha.

Rona merah matahari mula berserakan didada langit. Menimbulkan satu lukisan alam abstrak lukisan Ilahi yang indah nian. Biasan di hamparan laut biru memberikan warna baru kepada permaidani berkilau ini. Matahari seolah meminta diri untuk berlabuh setelah seharian penat belayar di angkasa. Sahabat karibnya, malam, akan menggantikan tempatnya tidak lama lagi. Burung sudah mula sibuk pulang ke sarang. Cuma aku masih berteleku di sini...

Seusai solat Asar pada suatu petang itu, aku memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Agar diselamatkan pejuang kebenaran seperti abang Ahsan dan kumpulannya. Sungguh khusyuk uzlah aku petang itu. Terasa damainya hati meskipun di luar sana penuh dengan kekacauan. Tiba-tiba kesunyian petang itu tiba-tiba pecah...

Di sepanjang jalan di bandar Tulkarem ini tiba-tiba riuh dengan gelombang manusia. Masing-masing berteriak melaungkan kalimah tauhid menyuarakan rasa marah dan kecewa. Dalam sekelip mata, gelombang manusia ini mampu mengumpul beribu-ribu orang untuk sama-sama keluar menyertai mereka. Aku masih terpinga-pinga menjenguk dari jendela kamar ini tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Hati aku tiba-tiba berdegup kencang... Adakah?

Pintu bilikku diketuk kencang. Meluru aku membukanya. Rupanya ayah di muka pintu. "Fetima, Ahsan syahid. Kumpulannya terperangkap dalam pertempuran dengan tentera Israel laknatullah. Bersabarlah..."

Terjelepuk aku terduduk. Air mata mencucur deras tanpa dapat diseka lagi. Hati ini bagai direntap hilang segala kekuatanku. Punah segala mahligai impian. Argh...aku tak boleh begini. Mana semangatmu yang dulu berkobar-kobar. Apa yang boleh berubah seandainya engkau duduk terjelepuk begini sahaja... Mana semangat Salehudin al-Ayyubi, yang sekian lama terpahat dalam benakmu???

Ya....aku tidak sepatutnya menangisi pemergian abang Ahsan kerana pemergian adalah melalui jalan yang termulia. Andaikata aku meratapi kematiannya ini seolah-olah aku tidak redha dengan perjuangannya dan juga perjuangan fisabilillah yang suci ini. Perjuangan mereka yang disalahtafsirkan oleh pihak kuffar dan juga sesetengah dunia Islam yang lain sebagai pengganas sia-sia. Tapi, apa yang mereka tahu. Tidakkah mati mempertahankan aqidah dan watan itu lebih baik daripada mati sakit di atas katil. Pulang jasadnya tanpa nyawa membawa mahar seperti dia yang dijanjikan. SYAHID...! Mungkin inilah mahar yang dia lafazkan dulu.

Ada jernih panas mengalir lesu di pipi. Aku menangis terkenangkan rakaman hidup lalu. Teleku aku masih belum berakhir meskipun matahari sudah malap dimamah kaki langit. Mencari secebis kekuatan diri dari alam ini. Di tengah pantai saujana ini terasa betapa kerdilnya diri. Ku pujuk hati lara ini agar tidak berterusan dicucuk jarum hasutan syaitan. Doa dan istighfar sebagai penawar.

Hidup perlu diteruskan. Perjuangan belum lagi selesai. Langkah derap aku susun melangkah pulang. Meninggalkan babak-babak pilu dalam kitaran hidup bersama dengan angin bayu malam yang mula berpuput. Dengan harapan agar sinar mentari esok bakal memberi kejayaan ke arah perjuangan pembebasan bumi suci bertuah ini. Islami Ya Quds!!!

m_khair©
mohdkhairuladha
Kuliyyah of Engineering
International Islamic University Malaysia
محمد خيرالأضحى بن محمد جميل
كلية الهندسة
الجمعة الأسلامية العالمية ماليزيا


alone at 10:13 AM




.CREDITS

Designed by: hawKS
Pictures from: deviantART
Specially made for: benS